#SelfThoughts: After listening to Takut by @idgitaf
It's okay to be scared sometimes..
RefleksiAbdullah Fitri Che Wan
March 23, 2022
`Lika-liku perjalanan
Ku terjebak sendirian
Tumbuh dari kebaikan
Bangkit dari kesalahan` - idgitaf, 2022
Cerita semalam
Semalam, ketika di dalam perjalanan saya ke pejabat dengan menaiki pengangkutan awam (LRT). Saya memakai earbuds seperti biasa, kerana ia seolah-olah menjadi rutin harian saya untuk memakai earbuds sejurus sahaja kaki saya menlangkah masuk ke dalam LRT, sambil memasang aplikasi Spotify di telefon pintar saya.
Untuk pengetahuan anda yang sedang membaca, saya suka memainkan muzik secara rawak. Ia membolehkan saya untuk menerokai jenis-jenis lagu yang mungkin saya tak pernah dengar dan besar kemungkinan saya boleh menemui seleksi lagu-lagu yang bagus untuk ditambah ke dalam senarai lagu kegemaran saya.
Selang beberapa minit, ke udara sebuah lagu ini menerjah masuk ke dalam telinga saya dan ia terus menusuk ke dalam jiwa saya. Tanpa mengambil masa yang panjang, saya terus memandang ke arah skrin telefon saya, sebab saya ingin tahu tajuk lagu yang sedang bermain di Spotify saya ketika ini.
Tajuk lagu yang sedang saya dengar ketika itu ialah, Takut yang dipersembahkan oleh seorang penyanyi yang berasal dari negara jiran, iaitu Indonesia yang saya rasa ia merupakan nama pentas beliau iaitu Idgitaf
Apa yang membuatkan lagu ini terus menusuk ke jiwa saya?
Hanya Tuhan sahaja yang tahu, kenapa aku boleh menangis dengar lagu ni.
— fitri. (@fvtrx) March 22, 2022
And I agreed, it's okay to be scared sometimes..https://t.co/225BAP4Rv0
Ketika saya mengamati bait-bait lirik yang dilontarkan di dalam lagu Takut ini, tanpa saya sedar.. air mata saya tiba-tiba sahaja bergelinang lalu menitis ke pipi seperti mana yang saya kongsikan melalui ciapan saya di Twitter.
Saya merasakan lagu ini, sangat dekat dengan saya. Ia bagai bercerita tentang diri saya. Seolah olah, ia memahami gelora yang melanda jiwa saya yang kian meningkat dewasa ketika ini.
Terutamanya di bahagian lirik ini:
`Pertengahan dua lima Selanjutnya bagaimana?
Banyak mimpi yang terkubur
Mengorbankan waktu tidur
Ku tak tahu apa lagi yang 'kan kukejar`
Ironinya, umur saya telah pun menginjak ke usia 25 pada tahun 2022 ini.
Saya mengalirkan air mata, sehingga tamat lagu ini. Tidak lah sampai teresak-esak. Cuma ia mengalir dan cukup untuk membuatkan saya sebak.
Dan, saya mula takut.
`Takut tambah dewasa
Takut aku kecewa
Takut tak seindah yang kukira
Takut tambah dewasa
Takut aku kecewa
Takut tak sekuat yang kukira
Aku tetap bernafas
Meski sering tercekat
Aku tetap bernafas
Meski aku tak merasa bebas`
Ketika lirik bahagian korus ini berlalu di dalam telinga saya, jujurnya saya merasai emosi yang berselindung di sebalik lirik ini.
Dan ya, jujurnya saya takut menjadi seorang dewasa..
Majoriti daripada kita semua, tak pernah menyangka bahawa kita yang dahulunya tak banyak terfikir tentang masalah-masalah yang bakal kita hadapi ketika meningkatnya dewasa pada usia remaja.
Sebagai contoh, sewaktu kita di alam persekolahan. Masalah-masalah yang mungkin sering melanda di fikiran kita adalah:
- Kerja sekolah masih belum siap
- Balik dari sekolah, nak buat apa
- Outing nak pergi mana (hanya applicable pada pelajar asrama)
- Dan masalah-masalah lain...
Dan tanpa kita sedar.. waktu zaman persekolahan kita, sudah begitu lama jauh meninggalkan kita. Jauh ditelan usia.
Kini, saya telah pun menginjak ke usia 25 tahun:
- Saya telah pun memasuki alam pekerjaan. Bekerja setiap hari Isnin hingga Jumaat, bermula jam 9 pagi sehingga 6 petang
- Komitmen hidup saya bertambah (sewa rumah, minyak motor, barang keperluan rumah, bil dan seumpamanya..)
- Kawan-kawan yang dahulunya sama sama berjuang dengan saya, baik di sekolah mahupun di alam universiti. Kini masing-masing sudah ada haluan sendiri. Ada yang dah mula berkahwin, dan ada yang dah dikurniakan cahaya mata.
- Abang sulung saya, kini sudah mempunyai anak lelaki pertamanya. Menjadikan saya mempunyai gelaran "pak cik" ketika ini.
- Adik perempuan saya, yang dahulunya selalu saya dukung ketika beliau baru lahir. Ditatang, dibelai dan dimanja ketika masih kecil lagi. Kini sudah pun memasuki usia remaja nya.
- Saya kini menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga, kalau dahulunya abang sulung saya yang menjaga makan minum ibu dan adik saya. Kini saya pula yang menggalas tanggungjawab itu.
Justeru itu, saya takut menjadi seorang dewasa..
Takut andai saya kecewakan diri sendiri.
Takut saya kecewakan ahli keluarga saya.
Takut saya kecewakan orang-orang sekeliling yang percayakan terhadap diri saya.
It's okay to be scared sometimes..
Berasa takut itu, kadangkala ia perlu untuk kita koreksi dan refleksi balik diri kita semula. Untuk bangkit menjadi lebih baik.
Lagu ini mengajar saya untuk berfikir sejenak, bahawa kalau bukan diri kita sendiri yang cuba untuk berfikiran positif terhadap ujian/musibah yang melanda. We can't expect others to do so for us. Dan mungkin apa yg kita lalui itu barangkali adalah suatu perkara yang terbaik untuk kita.
Dunia yang sementara ini, bukan lah suatu tempat yang kita perlu kita jangkakan bahawa semua perkara akan menjadi indah belaka. Kerana itulah sifat semulajadi dunia. Penuh ujian dan dugaan.
Dan kita harus sedar, segala aturan dan perancangan kita mungkin tidak akan berjalan lancar seperti yang kita harapkan.
Sebab apa? Sebab adanya perancangan yang telah disusun rapi dan cantik oleh pencipta kita, yakni Allah S.W.T.
Atas asbab itu, kita harus percaya.. bahawa rancangan Dia Yang Maha Pengasih lagi Pemurah, adalah sebaik-baik rancangan.
Wallahu'alam.
Tonton muzik video penuh di sini 👇
Sekian sahaja dari saya.
Terima kasih, kerana sudi membaca entri untuk kali ini.
Abdullah Fitri