Story: Finally! I'm married 🥰 (Part 1)
Alhamdulillah, I got married with the "right" person that I've been looking for a long time...
Bacaan UmumAbdullah Fitri Che Wan
October 31, 2023
وَخَلَقْنَـٰكُمْ أَزْوَٰجًۭا
Dan Kami menciptakan kamu berpasang-pasangan
- Surah An-Naba': 8
Alhamdulillah, segala puji hanyalah untuk-Nya.
Dah lama tak menulis di ruangan blog saya ini. Nampak sangat berhabuknya 😙💨.
Pejam celik, sedar tak sedar dah nak masuk 3 bulan lamanya saya sejak saya mendirikan rumahtangga pada September lalu.
❤️💕✨ pic.twitter.com/OumNYCZEqG
— fitri. (@fvtrx) September 12, 2023
Dan saya bersyukur, kerana saya kini bergelar seorang suami kepada isteri saya yang sangat baik budi pekertinya. Indah tutur kata nya. Dan juga seorang yang matang dalam pemikiran dan pendiriannya.
Jika anda bertanya bagaimana rasanya kini bergelar seorang suami, jujur saya ungkapkan yang saya gembira dan terasa bahagia.
Momen perkenalan pertama bersama isteri.
Perkenalan saya bersama isteri, melangkaui tempoh selama 5 tahun durasinya.
Saya merupakan bekas pelajar di SMKA Bandar Penawar yang terletak di daerah Kota Tinggi, Johor. Tapi jangan salah sangka, saya bukan lah orang yang anda boleh anggap sebagai seorang yang "alim" dalam bidang agama walaupun saya datang dari latar belakang sekolah yang memang menitikberatkan tentang "biah" (suasana) keagamaan.
Isteri saya pula, adalah bekas pelajar di SMKA Maahad Muar yang terletak di daerah Muar. Kalau anda penggemar industri nasyid sekolah, semestinya anda akan mengenali dengan sekolah yang sinonim dengan kumpulan nasyid Izdan.
Ramai juga yang bertanyakan kepada saya:
"Macam mana sorang dekat SMKA Bandar Penawar dekat ceruk Kota Tinggi, and sorang lagi dekat SMKA Maahad Muar boleh berkenalan and bercinta pulak ni?"
Memang benarlah bagai di kata. Kalau ditakdirkan jodoh, jauh dekat walau bagaimana sekalipun, pasti akan bertemu jua.
Pertama kali mata saya bertentangan dengan wajah isteri saya, adalah ketika mana kami berdua menyertai satu program kepimpinan pelajar iaitu Nadwah Kepemimpinan Islam Sekolah-Sekolah SMKA Negeri Johor sekitar tahun 2013-2014, yang berlangsung di SMKA Johor Bahru ketika itu.
Ironinya, isteri saya pada ketika itu tidak pernah menyedari akan kewujudan dan keberadaan saya di dalam program itu. Dan saya, hanya memandang beliau dari jarak jauh sambil berkata di dalam hati:
"Comel juga dia ni. Kecil molek saja orangnya."
Mana tak nya. Beliau antara yang berdiri di barisan hadapan sekali ketika kontinjen SMKA Maahad Muar mula mula melangkah masuk ke dalam dewan Umar Abd Aziz, SMKA Johor Bahru ketika itu. Yelah, sekolah mereka jauh. Mengambil masa dalam 2-3 jam untuk sampai ke bandar Johor Bahru ketika itu. Beliau pula antara yang "terendah" ketinggian nya, jadi mestilah dia berada di barisan hadapan (harap tak kena tidur luar lah nanti) 🤪.
Kiranya, ketika zaman sekolah kami berdua. Kami tidak memulakan apa apa perbualan ketika program tersebut. Tak pernah bertemu dan bersua muka depan-depan sepanjang program berlangsung. Yelah, program sekolah kan? Tak manis kalau terlihat pelajar lelaki dan pelajar wanita berbual-bual atau cuba bermesraan di hadapan guru-guru ketika itu.
Sampai habis era persekolahan, saya dan isteri masih tidak pernah berhubung dengan apa jua cara sekalipun di seluruh platform media sosial yang ada ketika itu.
Habis tu, macam mana kami berdua boleh menjalinkan hubungan yang akhirnya membawa ke jinjang perkahwinan? 🤔
Sampai di sini sahaja dahulu
Setakat ini, itu saja yang saya boleh kongsikan terlebih dahulu. Ada rezeki, nanti akan saya kongsikan di entri seterusnya jika berkelapangan. Ceritanya masih panjang kalau ikutkan. Kena brainstorm balik ayat and kosa-kata di samping menyingkap kembali momen-momen lama untuk menjadikan kisah nya lebih menarik. Agituhhh 🤣.
Akan tetapi, saya akan cuba nukilkan kisah saya dan isteri dengan sebaik mungkin di ruangan ini. Kalau bukan untuk anda, sekurang-kurangnya ia boleh jadi tempat untuk saya baca semula dan kenang kembali segala momen-momen yang kami berdua lalui sebagai pasangan suami isteri.
Sekian sahaja dari saya.
Terima kasih kerana sudi singgah dan meluangkan masa di ruangan entri kali ini.
Sampai bertemu kembali, In Sha Allah.
Abdullah Fitri